Tuesday, July 21, 2009

Anak Kampung 2

1. C akap pasal anak kampung, mesti tak lepas dari cerita mandi sungai,mengedik ikan,lastik burung dan juga main main dalam belukar dan semak. Sekarang,pengelaman begitu boleh dikatakan tak ada lagi. Sungai yang dalam airnya kini sudah tohor dan cetek. Anak kampung sekarang tak dapat lagi belajar berenang macam dulu. Tak dapat lagi mudik dari hulu ke hilir menggunakan batang pisang. Tak dapat juga terjun ke dalam sungai dari batang lan `macam "tarzan". Lubuk "tempayan" yang begitu terkenal tempat terjun itu pun dah tak wujud lagi. Masih tergiang-giang lagi di telinga ini mak berpesan " nak mandi sungai jangan sampai pergi lubuk tempayan , ada orang dah mati di situ ". Memang betulpun cakap mak tu. Aku hampir lemas di situ akibat putaran air yang berpusing di dasar sungai. Mungkin umur masih panjang aku terselamat disebabkan ada yang ternampak aku hampir lemas dalam keseronokan mandi manda itu.

2. Bila air sungai menjadi dalam akibat hujan lebat di sebelah hulu maka pesta aktiviti di sungai bagi anak kampung pun bermula. Selain dari mandi sungai aktiviti mengedik (memancing) ikan juga bermula. Semasa air sungai mula naik dan menjadi keruh , ikan akan keluar dari lubuknya untuk mencari makan dan ia begitu lapar sekali. Sungguh seronok menyembat pancing apabila dimakan ikan terutamanya apabila umpan dimakan ikan sembilang.Joran batang buluh yang digunakan akan melentur ke dalam sungai. Ia begitu ganas melarikan umpan ke dalam lubuk. Jika terlambat menyembat seringkali mata pancing tersangkut di celah akar kayu.

3. Dulu, di sungai ada ikan sembilang yang besar lengan tetapi sekarang masih ada juga ikan sembilang tapi saiznya dah menjadi kecil pula. Ikan baung,sebarau dan udang galah juga ada di sungai satu masa dulu ,tapi sekarang ikan jenis itu dah tak ada lagi . Yang banyak ikan seluang dan ikan putih. Ikan yang dipancing akan dicangkuk bahagian mulutnya dengan anak dahan pokok. Jadi ikan itu akan tersusun cantik di anak dahan kayu itu. Siapa yang banyak dapat ikan akan menayangkan ikan dengan menggantungnya di dahan pokok.

4. Melastik burung adalah aktiviti mesti bagi anak kampung satu masa dulu. Bila berjalan dalam belukar,lastik mesti tergantung di leher. Pantang ternampak burung,pasti akan menjadi sasaran batu lastik. Cabang atau kayu lastik itu ada yang diambil dari cabang pokok kayu tetapi bagi yang kreatif sedikit boleh diukir dari kayu pokok limau. Petua anak kampung, apabila kena burung yang dilastik itu, darahnya dilumur pada batang lastik itu . Ini untuk menjadikan lastik itu "mujur" konon. Siapa yang tak kenal dengan adik beradik "ange" dalam hal melastik burung ni . Mereka cukup handal dan hero dalam bidang ini. Ang,Alop, Amin dan Ange entah berapa banyak burung yang maut di tangan mereka. Yang pasti batang lastik aku tak pernah pun dilumur dengan darah burung,pasal tak pernah kena !

No comments:

Post a Comment